Sentuhan Ramadan Santuni Hati Remaja Kepada Warga Emas

Oleh: Adli Adnan

Kempas, 26 Mei – Kelab Remaja Isma (KRIM) Johor Bahru telah menyantuni warga-warga emas dari Rumah Nur Ehsan melalui program Sentuhan Ramadan yang berlangsung pada hari ini.

Menurut saudara Ahmad Nor yang merupakan pengarah bagi projek Sentuhan Ramadan pada tahun ini, beliau berharap para sukarelawan yang hadir dapat melahirkan rasa insaf dan ingin berbakti terutamanya kepada kedua orang tua.

“Program ini juga diharap dapat memanfaatkan bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti-aktiviti amal melalui program seperti ini”, ujar beliau lagi.

Program yang diadakan buat kali kedua ini telah mengumpulkan sukarelawan-sukarelawan remaja dari pelbagai sekolah di sekitar Johor Bahru yang terdiri daripada sekolah harian dan juga sekolah berasrama penuh.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi menjayakan program ini seperti pemeriksaan kesihatan oleh i-Medik, tazkirah, dan sesi beramah mesra bersama warga emas Nur Ehsan di samping penyampaian wang tunai dan barangan keperluan asas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *