Remaja merupakan aset penting dalam pembangunan sesebuah Negara. Mereka merupakan generasi pelapis yang akan memimpin Negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian pembentukan jati diri dan persediaan bagi menyediakan barisan kepimpinan masa depan perlu bermula dengan pembentukan individu remaja itu sendiri.

Namun, mutakhir ini kita sering kali terlihat di dada akhbar dan media sosial pelbagai permasalahan yang berlaku dikalangan remaja. Antaranya ialah gangsterisme,vandalisme, ponteng sekolah, merokok, melepak, keruntuhan akhlak, berzina, buang anak dan sebagainya. Gejala sosial yang sering berlaku melibatkan remaja di Malaysia kian sukar dibendung. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam perkara ini?

Golongan remaja boleh dibaratkan sebagai sebuah bangunan yang masih dalam proses pembinaan. Namun, belum sempat siap dibina, bangunan tersebut telah diancam oleh pelbagai anasir yang cuba untuk meruntuhkan bangunan tersebut seperti jentolak, cuaca yang burukdan sebagainya. Begitu juga dengan remaja kita di Malaysia, umur mereka masih terlalu muda dan masih banyak yang perlu dipelajari. Tetapi mereka telah diancam dengan serangan-serangan seperti hiburan yang melampau, ideology yang songsang dan pengaruh barat yang merosakkan.

Antara kesan buruk yang bakal diperolehi daripada masalah gejala social dalam kalangan remaja ialah runtuhnya nilai akhlak dan jati diri. Naluri remaja yang ada dalam diri telah mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar. Akibatnya, ramai tersilap langkah dengan mengikut budaya atau ‘trend’ semasa yang tidak berpaksikan kepada Islam kerana kurangnya pertimbangan dan penilaian yang tepat terhadap sesuatu perkara.

Terdapat pelbagai punca yang dikenalpasti mendorong kepada berlakunya gejala sosial dikalangan remaja termasuklah kurangnya keprihatinan ibubapa dalam mendidik anak-anak, masalah dan konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, penyalahgunaan IT, perasaan ingin tahu dan yang paling penting adalah kurangnya didikan agama. Oleh yang demikian, penting bagi setiap individu, ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk tahu punca yang mendorong seseorang remaja itu terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak bermoral.

Oleh itu, tugas untuk mendidik dan membentuk remaja Muslim di Malaysia adalah terletak dibahu semua pihak. Ibu bapa khususnya perlu memainkan peranan yang sangat utama bagi membendung masalah ini. Didik dan asuh mereka dengan sepenuh perhatian dan kasih sayang sehingga mereka tidak perlu untuk mencari orang lain bagi memenuhi tanggungjawab tersebut. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan lukisan atau hiasan padanya.

Selain itu, sistem pendidikan dan amali disekolah turut dapat memainkan peranan penting bagi membanteras gejala social dalam kalangan remaja. Sistem pendidikan serta aktiviti-aktiviti di dalam dan diluar bilik darjah yang disusun dan dirangka oleh Kementerian Pendidikan haruslah menekankan aspek pembentukan sahsiah dan jati diri yang baik. Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dari segi akademik, malah perlu seiring dengan kemantapan akhlak yang murni. Cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan baru-baru ini, untuk menjadikan subjek Agama Islam dan Pendidikan Moral sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu langkah positif yang perlu disambut oleh semua pihak.

Namun begitu, kesedaran kendiri dalam diri para remaja juga perlu diberi penekanan. Di zaman yang penuh mencabar ini para remaja perlu menitikberatkan faktor pemilihan rakan sebaya dan berfikir dengan matang (pertimbangan baik buruk) sebelum melakukan sesuatu perkara. Para remaja perlu mendapatkan pandangan ibubapa, guru-guru dan orang yang lebih dewasa sebelum melakukan sesuatu tindakan. Para remaja juga dianjurkan untuk terlibat aktif di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan khidmatsosial, sukan dan rekreasi serta motivasi dan kepimpinan yang dianjurkan oleh kebanyakan NGO seperti Kelab Remaja Ikatan Muslimin  Malaysia (KRIM) dan badan-badan kerajaan. Disamping dapat mengisi masa lapang, ia juga dapat memberikan nilai tambah didalam diri remaja itu sendiri bagi menyediakan barisan kepimpinan Negara untuk masa depan.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua lapisan masyarakat supaya berganding bahu dan bekerjasama untuk mengekang gejala social ini dari terus menjadi lebih serius. Setiap individu perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keberkesanan perancangan dan aktiviti yang dijalankan dapat mencapai objektif yang digariskan. Pendidikan agama perlu dititikberatkan dalam pembentukan sahsiah diri remaja agar dapat dijadikan panduan dan pedoman sepanjang kehidupan mereka. Akhir sekali, marilah kita berusaha semaksimum mungkin dan berdoa serta bertawakal kepada Allah agar usaha ini mendapat hidayah serta petunjuk dari Nya.

Muzhaffar Mohd Zaki

Kelab Remaja ISMA Johor Bahru

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *