February 21, 2018

Naik Taraf Biasiswa Bumiputera Baru Masuk Akal

Mengulas saranan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Raof Husin baru-baru ini yang telah memberikan cadangan agar kerajaan menamatkan biasiswa persekutuan untuk pelajar minoriti telah menimbulkan reaksi panas ramai pihak antaranya daripada MCA di mana presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal untuk diterima.

Beliau menyatakan bahawa tidak sepatutnya mana-mana pelajar dianaktirikan oleh kerajaan dalam mendapatkan jaminan pembiayaan biasiswa terutama sekali di Malaysia kerana pendidikan mempunyai tempat yang tinggi dalam negara kita.

Secara peribadi, sebagai seorang profesional dan graduan yang telah mendapat pendedahan pendidikan di dalam dan di luar negara, saya bersetuju dengan kenyataan yang dilontarkan oleh presiden MCA itu atas dasar hak untuk mendapatkan jaminan pembiayaan biasiswa perlu dibuka kepada semua kaum dan perlu kita ingat bukan semua 32 juta rakyat di Malaysia terdiri daripada golongan yang berpendapatan tinggi dan boleh membiayai yuran pendidikan mereka sendiri.

Akan tetapi, daripada menyarankan agar biasiswa kepada kaum minoriti ditamatkan, saya ingin mencadangkan agar diwujudkan satu program biasiswa khusus buat Bumiputera sahaja atau memperkasakan lagi program biasiswa sedia ada yang khusus untuk Bumiputera. Pada hemat saya, ianya adalah wajar memandangkan keistimewaan itu sudah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153(1),

“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Saya pasti lontaran saya ini akan mendapat reaksi daripada orang saya sendiri. Bukan yang positif, tetapi negatif kerana ada dikalangan kaum mereka yang tidak mahu mempertahankan keistimewaan ini, sebaliknya menganggap kuota yang ada untuk golongan Bumiputera ini adalah tidak adil dan menindas hak kaum minoriti yang lain.

Mungkinkah anak-anak ini yang akan menerima biasiswa pada masa hadapan kelak? Sumber gambar: Google

Apa yang disarankan adalah bukan retorik semata-mata tetapi berdasarkan hakikat yang terjadi di Malaysia. Apabila kita menyentuh isu adil dan sama-rata, bukankah kaum Bumiputera terdiri daripda 68.8% (19.75 juta) daripada jumlah keseluruhan warganegara Malaysia. Adakah salah jika diwujudkan atau dikekalkan biasiswa khusus untuk golongan Bumiputera ini?

Keistimewaan khusus buat kaum Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara termanya dirujuk sebagai Bumiputera adalah suatu perkara biasa yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara-negara lain. Di Australia misalnya, terdapat unit sokongan pendidikan khusus buat ‘Aboriginal Australians’ atau penduduk asli Australia di mana mereka akan ditempatkan di setiap universiti di Australia dan diberikan kemudahan dan bantuan yang dirasakan perlu sepanjang tempoh pengajian mereka.

Jika kerajaan di Australia boleh melakukan perkara sedemikian, saya yakin dan pasti kerajaan Malaysia boleh laksanakan dengan lebih baik lagi kerana sistem dan platform itu sudah ada dan sudah tiba masa untuk dinaik taraf tanpa mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia.

Saya pasti dengan kapasiti yang ada pada kerajaaan sekarang dan berdasarkan laporan-laporan kewangan yang dipaparkan baik daripada kementerian, jabatan audit dan badan bebas dari luar Malaysia, Malaysia tidak perlu menunggu pilihan raya untuk melaksanakan dasar dan polisi baru dalam pengukuhan biasiswa untuk kaum Bumiputera di Malaysia.

Fathi Kamil
Aktivis Isma Johor Bahru

Adli Adnan
Editor BKOM Isma Johor Bahru

Sumber:
1. https://www.ismaweb.net/2018/01/13/wujudkan-sekolah-satu-aliran-sahaja/
2. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tidak-masuk-akal-idea-mansuh-biasiswa-pelajar-minoriti-mca-165649
3. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=397&bul_id=SmtySjF1eXplQTIrVWh3Wkx5N1pyQT09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09
4. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=VUdaQ2tVVjcwTEFUVWp5aTVQbjV1UT09
5. https://www.pmc.gov.au/indigenous-affairs/education/higher-education

 

Hot industry news & trends

More useful articles