Kenapa remaja hari ini ramai yang merokok? Sedangkan mereka tahu bahaya dan kesan buruk merokok pada diri. Pelbagai nasihat dari ibubapa, teguran dari pihak sekolah, serta kempen yang dijalankan pihak bertanggungjawab, seperti tidak memberi kesan langsung kepada mereka, malahan gejala merokok ini semakin hari  semakin membimbangkan.

Kesan buruk yang “dihadiahkan” rokok bukan sahaja diterima oleh si perokok, malah ianya memberi kesan yang lebih buruk kepada orang sekeliling yang terhidu asap rokok. Islam sangat mencegah perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain ini melalui 2 firman Allah dibawah.

Firman Allah dalam surah An-Nisa : 29,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمً

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian memakan harta-harta kalian di antara kalian dengan cara yang batil, kecuali dengan perdagangan yang kalian saling redha. Dan janganlah kalian membunuh diri-diri kalian, sesungguhnya Allah itu Maha Kasih Sayang kepada kalian.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 195

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Dan belanjakanlah (harta benda kalian) di jalan Allah, dan janganlah kalian menjatuhkan diri kalian sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik

Merokok juga diklasifikasikan sebagai perbuatan yang membazir. Kebanyakan perokok akan lebih membelanjakan wang mereka untuk membeli rokok berbanding membeli keperluan harian yang lebih penting sebagai contoh makanan yang berkhasiat. Implikasinya, perbelanjaan mereka akan dibazirkan dengan membeli rokok di mana harga rokok sekarang mencecah RM13.50 sekotak. Seorang perokok akan membazirkan wangnya sebanyak RM405.00 dalam tempoh sebulan dan RM4927.50 dalam tempoh setahun. Wang tersebut sewajarnya dibelanjakan untuk perkara yang lebih bermanfaat dan bukan kepada perkara memudaratkan. Sebagai perokok tegar, adakah mereka tidak sedar bahawa perkara ini yang telah berlaku sepanjang kehidupan mereka? Mungkin juga perkara tersebut di luar kotak kesedaran mereka membuatkan mereka terus hanyut dalam alam ‘kenikmatan’ yang dirasai.

Adakah gejala ini tidak boleh dirawat?. Dalam isu memperbaiki keadaan, peranan ibubapa sangatlah penting dan ibu bapalah yang seharusnya bertanggungjawab diatas akhlak dan tingkahlaku anak-anak mereka, kerana anak-anak akan berada lebih lama di rumah berbanding disekolah atau tempat-tempat lain.. Ibubapa perlu cakna tentang keberadaan dan perilaku anak-anak. Ibu bapa perlu tunjukkan contoh teladan yang baik supaya anak-anak mempunyai tempat rujukan untuk berakhlak baik. Jika ibu bapa juga merokok, bagaimana hendak menegur anak-anak mereka supaya tidak merokok?

Konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi tabiat merokok seperti mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan gaya hidup sihat akan menjadikan diri lebih cergas, cerdas dalam menjalani kehidupan seharian serta memantapkan kerohanian diri mereka dengan tiada lagi perkara haram mengalir dalam diri mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *