January 25, 2018

KLS Johor Bahru 2018 Membawa Pelajar untuk Lebih Kenali Potensi Diri

Oleh : Muhammad Taqiuddeen Bariman

JOHOR BAHRU, 13 Jan – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) edisi ke-6 yang diadakan di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Johor Bahru baru baru ini, telah berjaya mengumpulkan sejumlah 88 peserta lelaki dan perempuan lepasan SPM, STPM, dan STAM dari pelbagai daerah di negeri Johor.

Program yang padat dengan pelbagai aktiviti ini, membawa 4 slot utama iaitu, Whats Next After SPM?, Perkongsian Bidang Kerjaya, Pameran Informasi Kerjaya dan Forum Survival Kehidupan, yang menampilkan Dr Omar Abdul Aziz, Pensyarah Kanan UTM, Dr Madihah Bt Rushaidhi, Timbalan Dekan Fakulti Bio-Perubatan Newcastle University dan ramai lagi.

Mohamad Ad Satiman, dalam slot beliau berkata, “Setiap manusia mempunyai potensi dan minat tersendiri yang berbeza dengan orang lain. Amat penting untuk kita mengenali potensi dan minat diri, sebelum memilih jurusan yang ditawarkan di institut pengajian tinggi. Ini untuk mengelakkan kita tidak hanya sekadar belajar atas dasar paksaan dari keluarga ataupun rakan. Terlalu banyak kes pertukaran pengajian akibat dari kurangnya minat dengan pengajian yang awal, walhal, setiap semester yang diambil, menelan kos yang tinggi.”.

“Kita juga perlu mempunyai matlamat yang jelas, untuk memudahkan kita memilih jurusan di IPT nanti, dan kita juga perlu berani membuat keputusan yang besar. Jangan sesekali kita menodai keputusan yang telah kita pilih. Sudah pasti kita akan mengharungi pelbagai cabaran dan masalah dalam menuju matlamat yang telah ditetapkan tersebut.” ujar beliau lagi.

Turut sama berkongsi ilmu dalam slot Perkonsian Bidang Kerjaya ini adalah Dr. Syazwani Itri Bt Amran, Pensyarah Kanan UTM, pemegang PhD Perubatan Sains, Universiti Monash Melbourne dan juga Mohd Burhanudin Yusof, Pengarah Urusan Empayar Ijmal.

KLS merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Isma (KRIM) di seluruh Malaysia bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dengan persediaan memasuki fasa institusi pengajian tinggi.

Hot industry news & trends

More useful articles