September 15, 2021

Ketagihan: Merdekakah Kita?

Isu ketagihan adalah isu utama yang telah merencatkan kemajuan negara khususnya dalam usaha pembentukan jati diri generasi muda. Ketagihan di sini tidak hanya menyentuh isu dadah dan rokok, namun turut merangkumi ketagihan pornografi, seksual dan gajet.

Suka untuk saya menyenaraikan beberapa kenyataan bagi menggambarkan keseriusan isu ketagihan ini dikalangan masyarakat kita.

65% daripada 128,325 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan ketagihan dadah pada tahun 2020 terdiri daripada mereka yang berumur 19-39 tahun (Agensi Anti Dadah Kebangsaan, 2020)

Kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja (Malaysians Against Pornografi, 2018)

Malaysia mencatatkan peningkatan carian di laman web pornografi terkemuka sebanyak 84% semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan (Sekeluarga Tolak Pornografi, 2021)

Secara umumnya, ketagihan adalah berpunca daripada pengeluaran hormon dopamine secara berlebihan ketika mana seseorang itu mengalami sesuatu yang menyeronokkan atau mengujakan. Seseorang individu tersebut akan mula merasa gelisah jika tidak mendapat kepuasan yang sama. Manakala, otaknya sudah merakamkan situasi dan perbuatan yang membolehkannya merasai kepuasan tersebut. Maka, individu tersebut akan cenderung untuk kembali kepada perbuatan tersebut secara berulang-ulang kali.

Kitaran ini akan terus berputar dan sukar untuk individu tersebut bebas daripada penjara ini, walaupun akalnya sedar akan kesalahan tersebut. Tambahan pula, isu tekanan dan kemurungan di kala pandemik Covid-19 kini meransangkan lagi keinginan untuk terus terjebak dalam ketagihan ini.

Saya tidak dapat mencadangkan langkah-langkah penyelesaian bagi masalah ini secara terperinci dalam penulisan ini. Secara umumnya, ketagihan ini adalah masalah mental yang perlu diselesaikan secara serius oleh semua lapisan masyarakat. Mereka yang ketagihan ini perlu dilihat seperti seorang pesakit yang memerlukan sokongan moral dan khidmat nasihat. Langkah-langkah penyelesaian perlu merangkumi segenap aspek seperti nilai-nilai spiritual, keagaamaan dan saintifik.

Muhamad Iqbal Hakim Bin Mohd Tahir

Aktivis ISMA Iskandar Puteri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *