October 13, 2021

Kepincangan rumah tangga berpunca daripada konflik antara suami isteri yang tidak diurus secara baik

Ramli dan Rahimah telah 10 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan 4 orang anak. Kedua-duanya bekerja. Rahimah berusaha agar keperluan seisi keluarga terjaga dengan baik termasuk penyediaan makanan, kekemasan rumah serta pelajaran anak-anak. Kelelahan menguruskan keluarga di samping kesibukan kerjaya menyebabkan emosi Rahimah terganggu. Beberapa kali Rahimah menceritakan keadaannya kepada suaminya. Rahimah mengharap Ramli dapat membantu meringankan bebannya menguruskan rumah tangga dan melayan anak-anak tetapi dia kecewa kerana Ramli tidak memahami kehendaknya itu. Dia kecewa melihat suaminya beristirahat menonton televisyen dan bermain telefon sedangkan rumah bersepah, kain baju berbakul-bakul tidak dibasuh, anak-anak tidak dilayan malah tiada lagi sesi anak-anak mengaji Al-Quran setiap malam melainkan Rahimah mengingatkan suaminya yang sering leka. Banyak perkara Rahimah terpaksa buat sendiri termasuklah membeli barangan dapur setiap minggu, merancang aktiviti anak-anak setiap hujung minggu, dan mencuri masa pada waktu lewat malam untuk menyelesaikan kerja-kerja pejabat.

Banyak perkara Rahimah terpaksa buat sendiri termasuklah membeli barangan dapur setiap minggu

Semakin hari Rahimah makan hati melihat ketidakendahan suaminya. Hubungan mereka menjadi dingin. Tiada perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian. Disebabkan kepenatan yang dirasainya, emosi Rahimah terganggu dan dia kerap bersedih. Adakalanya, Rahimah rasa tidak mahu pulang ke rumah kerana fikirannya serabut melihatkan rumah tidak terurus dan anak-anak terabai. Dia terfikir untuk melarikan diri daripada suaminya akibat tidak tertanggung beban emosi yang semakin parah. Kadang-kadang dia tidur sepanjang hari untuk cuba melarikan diri dari segala masalahnya. Dia tidak mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan orang lain termasuk rakan sekerjanya. Dia menjadi pendiam dan prestasi di tempat kerja turut terjejas.

Akibat keserabutan yang dialaminya, Rahimah bertukar menjadi seorang yang pemarah, kasar dan tidak terurus. Dia menggunakan bahasa yang kasar apabila berkomunikasi dengan suami manakala anak-anak menjadi mangsa amarahnya. Dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya di laman sosial. Dia tidak mampu menguruskan anak-anaknya dengan berkesan. Jauh di sudut hatinya, Rahimah dalam dilema, dia rasa bersalah.

Hubungan suami isteri tidak pernah sunyi diuji ibarat pepatah “disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Kepincangan rumah tangga selalunya berpunca daripada konflik antara suami isteri yang tidak diurus secara baik. Lebih buruk lagi konflik yang tidak diselesaikan dan semakin lama terkumpul sehingga sampai satu tahap ianya tidak dapat dibendung dan memberi kesan yang lebih buruk terhadap si suami, isteri dan seisi keluarga.

Bagaimana Rahimah boleh membaiki keadaan ini? Apakah penyelesaian untuk masalahnya?

Seminar Wanita Islam (SERWANIS) November ini bakal mengupas dilema wanita sebagai tonggak rumah tangga.

Jom sertai SERWANIS.
Mari sama-sama kita menjadi Wanita Bijak Urus Konflik!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *