February 25, 2018

Denda Ponteng Solat Jumaat: Hukuman atau Didikan

Baru-baru ini, beberapa buah Jabatan Agama Islam negeri dan daerah di Malaysia telah mewartakan denda dan penjara terhadap lelaki Muslim yang baligh dan cukup umur yang didapati tidak menunaikan Solat Jumaat pada hari Jumaat. Pewartaan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam seperti di Terengganu, Kedah, Kuala Pilah (Negeri Sembila) dan negeri-negeri yang lain.

Menurut laporan yang dikeluarkan, salah satu faktor yang menyebabkan denda dan hukuman ini diwartakan adalah apabila pihak penguatkuasa agama Islam telah menerima aduan yang mendakwa terdapat lelaki Islam yang berada di luar masjid dan berkeliaran di premis perniagaan serta tempat awam ketika solat Jumaat. Perkara ini menyebabkan imej agama Islam tercalar di samping mencerminkan sikap kurang ambil peduli tentang hukum hakam agama Islam terhadap solat Jumaat.

Hukuman atau Didikan?

Mengulas berkenaan pewartaan ini, kami di Biro Islamiyat Isma Johor Bahru menyambut baik akan pekeliling baru yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam ini.  Pewartaan ini hadir pada masa yang tepat berkadaran dengan realiti umat yang terjadi pada hari ini. Ianya sebagai satu langkah yang baik bagi mengelakkan daripada lahirnya generasi yang bukan sahaja buta, bahkan tuli akan hukum asas agama Islam terutamanya dalam hal berkaitan solat.

Jika dilihat akan hukuman yang dikenakan sebagai contoh, di Terengganu, pesalah akan dikenakan denda RM3,000 dan penjara tidak lebih dua tahun, manakala Kedah, Perak dan Negeri Sembilan (Kuala Pilah) mengenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kami pasti jika dilihat secara objektif, pewartaan hukuman denda ini adalah adalah lebih kepada usaha untuk mengislah dan mendidik masyarakat agar lebih peka dengan asas-asas hukum agama Islam. Tindakan jabatan dan pejabat agama Islam ini seharusnya diberikan kredit dan dipuji kerana melalui pekeliling ini ianya dilihat dapat mendidik umat Islam agar lebih peka, malah lebih mesra terhadap masjid. Mesra yang dimaksudkan adalah dengan menjadikan masjid sebagai one stop center atau pusat sehenti selari dengan peranan masjid yang telah digariskan oleh Nabi Muhamaad SAW 1440 tahun yang lalu.

Selain itu, Solat Jumaat juga dilihat sebagai salah satu benteng terakhir bagi ibadah solat bagi umat Islam kerana terdapat banyak kelebihan mengenai solat ini di samping hukum Solat Jumaat yang wajib atas setiap lelaki Muslim yang baligh dan berakal. Seseorang yang tidak berasa segan silu untuk meninggalkan Solat Jumaat, akan lebih bersahaja meninggalkan solat-solat wajib di lain waktu.

Di samping itu, kami sebagai pertubuhan Melayu Islam sederhana secara konsisten menggalakkan masyarakat untuk sama-sama memakmurkan masjid dengan pelbagai pendekatan antaranya adalah dengan menganjurkan kempen solat berjemaah di Masjid. Sebagai contoh, 31 Januari yang lalu, satu kempen anjuran bersama Biro Islamiyat Isma dan Aman Palesitn yang bertemakan ‘Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa’ telah berjaya dilaksanakan di beberapa buah masjid di seluruh Malaysia. Program ini dilihat dapat menarik masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan golongn supaya dapat berhimpun di masjid dan memakmurkannya. Kempen seperti ini jelas selari dengan aspirasi kerajaan negeri bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan solat itu sendiri.

Justeru, kami menyeru agar umat Islam di luar sana sama-sama menyeru dan berpesan dalam melajukan segala urusan yang baik khususnya dalam bab menunaikan solat amnya dan Solat Jumaat khususnya serta melihat pewartaan pekeliling ini sebagai satu bentuk pendidikan dan bukan hukuman.

Asyraf Amiruddin
Ketua Bira Islamiyat Isma Johor Bahru

Adli Adnan
Editor BKOM Isma Johor Bahru

Sumber:
1. http://www.ismaweb.net/2018/01/17/denda-rm1000-atau-penjara-enam-bulan-ponteng-solat-jumaat/

Hot industry news & trends

More useful articles