Sebuah tamadun dan peradaban dimanifestasikan dengan rasa izzah sesebuah bangsa. Ini merangkumi bahasa, cara hidup,dan pemikiran yang menghasilkan sebuah identiti, yang membentuk sebuah kaum. Maka, pupusnya semua unsur di atas akan hancurlah bangsa itu sendiri. Terciptalah sebuah bangsa yang hilang identitinya. Sejarah mencatatkan sesebuah peradaban menjadi kuat kerana identiti yang wujud pada bangsa tersebut. Sebagai contoh, bangsa Melayu cukup dikenali hebat dengan bahasanya yang tersebar luas dalam Alam Melayu. Kemajuan teknologi dalam pertanian, petukang-petukang mahir dalam kerajaan Champa, sebuah kerajaan Melayu yang tertua yang wujud di kawasan Indochina hari ini, membuktikan gahnya sebuah tamadun dengan cara hidup tersendiri. Maka seharusnya sesebuah bangsa itu berpegang kepada identiti tersendiri. Persoalannya, masihkah ada harapan untuk survival bangsa ini ? Lewat kini, kita ibarat sudah melangkah ke dalam era Anglophile. Keghairahan kepada cara hidup,dan pemikiran Inggeris merupakan satu racun yang merosakkan identiti bangsa.  Budaya pemakaian anak muda yang tidak mencerminkan identiti bangsa dan agama, ketaksuban kepada falsafah dan pemikiran cendekiawan Barat, termasuklah juga golongan aktivis yang memperjuangkan hak asasi melebihi yang dibenarkan dalam kerangka agama jelas menunjukkan negara berhadapan masalah besar.

Mari kita mengambil cara berpakaian sebagai salah satu contoh mudah yang dapat dilihat. Dalam pemakaian hijab, tren memakai ‘turban’ yang kerap kali dilihat dalam majlis anugerah selebriti dan majlis fesyen sudah menjadi kebiasaan di negara ini. Tidak kurang juga tudung yang melilit leher  seperti ‘shawl’ yang dipakai pada musim sejuk di luar negara, jelas sekali menunjukkan yang anak muda terikut-ikut dengan budaya negara itu. Tren ini dapat dibuktikan dengan wujudnya, usahawan-usahawan selebriti yang semakin ramai menjalankan perniagaan tudung jenis ini. Hijab sudah menjadi satu alat berfesyen daripada memenuhi matlamat menutup aurat. Penjualan alat solek dan tutorial-tutorial solekan yang semakin banyak menunjukkan betapa kuatnya pengaruh tren dan penampilan yang tidak bercirikan Melayu. Negara Barat sudah tidak asing lagi dengan ketaksuban terhadap fesyen dan tren. “Dressed to kill”, “Fashion Suicide”, merupakan terma hiperbola yang digunakan dalam menggambarkan betapa pentingnya fesyen dalam budaya negara Barat. OOTD atau ‘Outfit of the Day” sudah tersebar luas di media sosial menjadi ikutan anak muda. Saya melihat aktiviti seperti ini merupakan sebuah pembaziran masa dan tidak mendatangkan manfaat. Adakah dengan menayangkan kepada dunia pakaian pada hari ini dapat memberikan kebaikan kepada yang melihatnya? Jika tidak, mengapa perlu mengamalkannya?  Bukankah rendah diri dan kesopanan itu yang dianjurkan Islam?

Di laman media sosial, diskusi buku literatur Inggeris, penyebaran ilmu tentang falsafah dan pemikiran Barat, seperti Thomas Hobbes, Friedrich Nietzche, John Rawls, John Locke, Baruch Spinoza, dan Plato, dipelopori anak  muda Melayu menerusi video dan artikel kupasan buku. Mereka seakan kagum dengan pemikiran ini, seterusnya menjadikan diskusi falsafah dan pemikiran Barat ini sebagai satu hobi, sesiapa yang dapat memahami pemikiran yang dianggap tinggi ini ibarat seorang yang hebat dan dikagumi. Penulis telah melihat perkembangan ini sejak 4-5 tahun kebelakang. Pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di bumi Eropah, Amerika, pulang dengan sebuah keghairahan dalam kesenian dan falsafah negara tersebut. Menimba ilmu itu bukanlah sesuatu yang salah, tapi apabila diskusi berterusan tentang pemikiran ini, seterusnya tiada sebarang pantauan atau garisan yang dilakarkan untuk membentengi diri daripada terikut-ikut, jelas sekali merupakan satu kesalahan. Adakah ilmu itu mendatangkan manfaat kepada diri dan agama? Atau sekadar sebuah hobi dan minat yang bertukar menjadi satu bentuk pengagungan terhadap sang pemikir? Kelihatannya seperti begitu. Penulis sendiri pernah menghadiri salah sebuah diskusi ini dan yang membentangkan tentang pemikiran Friedrich Nietzche, tidak pula menyatakan sebarang resolusi atau konklusi tentang kesalahan dalam pemikiran yang dibentangkan. Anak-anak muda di dalam diskusi itu kelihatan sangat ghairah dengan pembentangan tersebut.

Tidak kurang juga, pandangan yang dikeluarkan golongan elit dan berpelajaran tentang isu semasa, kadang kala jelas nampak pengaruh ke-Inggerisannya.Pada Januari 2004, Marina Mahathir menulis dalam ruangannya di The Star; “I have never known of a great nations built on rules about dress. Great civilization came out of people who valued knowledge, who wrote books and built libraries, who encouraged thinkers and new ideas”. Pernyataan ini jelas mensekularkan pendidikan dan pembangunan sebuah tamadun. Nilai dan budayalah yang menggambarkan jati diri seseorang. Sudah tentu pemakaian memainkan peranan dalam pembangunan dan juga budaya.Manakala, Zaid Ibrahim dalam buku tulisannya Assalamualaikum-Observations on the Islamisation of Malaysia menulis, “In a free society, people have choices, and everyone understands that the right of the individual must be respected. If someone wants to go to a rock concert, let him. If he doesn’t like it, he doesn’t have to go. The Government should not waste money paying the religious department’s moral police to go snooping in hotels and resorts”. Beliau juga memuji keunikan budaya Barat yang berpegang kepada individualisme, tradisi kebebasan dan hak manusia. Baginya bagi sesebuah kemajuan dan untuk tidak dipinggirkan, kita harus memodenkan diri kita seperti apa yang dicapai Barat. Beliau juga mengulas bahawa pemisahan agama daripada negera menyumbang kepada kestabilan sesebuah negara. Nilai sebegini jelas sekali berbeza daripada nilai Islam. Sesebuah negara tidak seharusnya disekularkan hanya kerana pendapat manusia bahawa kehidupan Barat adalah lebih maju dan moden. Islam itu adalah cara hidup, sebuah sistem yang kita imani dan amalkan, bukan terletak kepada ritual ibadah semata-mata. Adalah menjadi hakikat bahawa jika Melayu, pasti Islam. Oleh itu, pemeliharaan agama Islam adalah elemen penting dalam pembangunan tamadun bangsa ini. Faisal Tehrani seorang felo penyelidik di Institut Tamadun Alam Melayu, UKM, di dalam sebuah wacana bertajuk Hak Asasi Manusia: Cabaran Pelaksanaan di Alam Melayu pada Julai 2015, menggelarkan para ulama’ di negara ini sebagai “jadong” yang merupakan singkatan daripada jahat, bodoh dan sombong. Jadong adalah istilah yang dicipta oleh Syed Hussein Alatas bagi merujuk kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang rosak moralnya. Beliau juga memburuk-burukkan institusi raja yang telah berdaulat sejak lebih kurang seribu tahun lamanya. Hanya kerana terdapat kepincangan dalam institusi tersebut, tidak bererti kita wajar meruntuhkan institusi yang telah sebati dengan jati diri Melayu.Pemikiran-pemikiran begini semakin rancak lewat kini. Sebuah mentaliti yang tidak merasakan izzah kepada institusi kegemilangan Melayu, tidak merasa sayang kepada identiti bangsa. Sebuah pemikiran bahawa Barat lebih maju. Sampai bilakah kita harus merasa ‘inferior’?

Dahulu, Penjajahan minda merupakan strategi yang tersusun pada zaman penjajahan British lagi. Sejak zaman penjajahan Inggeris, penguasaan politik oleh penjajah Inggeris bermula dengan campur tangan mereka dalam hal-ehwal pentadbiran di Tanah Melayu, yang diikuti dengan pengenalan dasar-dasar penting seperti “Sistem Residen” dan “Dasar Pecah dan Perintah”. Menurut Al-Attas dasar-dasar ini bersifat meminggirkan peranan dan kepentingan Islam (Deislamization). Pelaksanaan dasar ini adalah atas lanjutan sentimen permusuhan, yang dari segi sejarahnya sedia wujud antara Islam dan Kristian sejak siri peperangan Salib (Rani M. Z, 2006). Barathadir  sebagai satu entiti Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Penjajahan SHTI bukanlah sekadar menguasai pemerintahan, tetapi termasuk merosakkan akal dan jati diri orang Melayu. Orang Melayu mula bergelumang dengan arak, judi dan candu (Syed Hussein AlAttas, 1977). Candu merupakan barang dagangan yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Candu memberikan keuntungan yang sangat besar buat mereka pada waktu itu. Dalam kajian-kajian lain menunjukkan SHTI membawa agenda tersendiri dalam menawan dunia. Penjajahan British juga berjaya menerapkan pandangan Kristian-Barat melalui pendidikan. Sekolah yang didirikan Benjamin Keasberry seorang mubaligh Kristian telah mendidik ramai elit melayu terkenal (Gracie Lee, 2016). Beliau juga telah menulis sebuah kitab injil di dalam Bahasa Melayu dengan bantuan Munsyi Abdullah pada tahun 1853. Kedatangan mereka memaksakan nilai-nilai kehidupan Barat, pemikiran Barat, dan sistem Barat. Pegangan “White Man’s Burden” (Beban Orang Putih), menjadi motivasi penjajahan ini. Sebenarnya yang berlaku adalah, proses membaratkan anak-anak jajahan. Cukuplah sekadar memahami rancangan penjajahan ini bukanlah atas keuntungan ekonomi semata-mata tetapi membawa agenda menjatuhkan agama, dan jati diri orang Melayu. Melewati sejarah yang lepas, sampai bilakah kita harus terperangkap dalam minda yang memandang tinggi kepada Barat dan Eropah? Anak-anak muda mengalami minda tertawan ‘captive mind’, apabila tidak merasakan bangsa sendiri jauh lebih ‘superior’ daripada bangsa lain.

Siapakah kita?

Dalam mengenali Melayu, kita boleh melihat dalam takrifan Perlembagaan Persekutuan iaitu Melayu adalah seorang yang beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur di dalam bahasa Melayu. Melayu itu mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Jika dilihat catatan sejarah China, orang Melayu dikenali sebagai bangsa yang sopan, bijak di dalam ilmu falak dan mempunyai peradaban yang tinggi.  Melayu juga tidak kurang hebatnya dalam pengkaryaan dan penulisan. Karya Melayu tradisional yang berunsurkan pendidikan terlalu banyak untuk disebutkan, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Petani semuanya merupakan karya-karya agung yang menggambarkan orang Melayu. Bangsa ini halus jiwanya. Tokoh seperti Tun Seri Lanang telah menulis Sejarah Melayu yang dijumpai di United Kingdom, Belanda dan Russia. Banyaknya naskhah ini menggambarkan betapa agungnya karya-karya tulisan tokoh Melayu. Sebagai contoh, Hikayat Melayu yang merakamkan peristiwa yang menunjukkan Sultan-sultan Melaka berpegang teguh kepada ajaran Islam. Menurut Mutalib (1997), ketika Melaka di ambang kejatuhan di bawah Portugis pada 1511, dua hikayat yang menaikkan semangat jihad tentera Melaka pada masa itu, iaitu Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiyyah. Kelahiran tokoh-tokoh nasionalis cerdik pandai yang menyerlah seperti Pendeta Za’aba, Burhanudin Al Hilmi, Onn Jaafar, dan Syed Sheikh Al Hadi adalahsesuatu yang membanggakan. Za’aba pernah mengkritik bahawa pendidikan tidak seharusnya melahirkan petani dan nelayan sahaja seperti yang dimahukan British. Beliau mengkritik dasar pendidikan colonial yang tidak adil. Beliau menulis;

melayakkan murid itu  bagi peperangan kehidupan dan bagi menjadi seorang manusia (menjadi orang) dan anak negeri yang layak dan jaya di dalam serta mulia kehidupannya di akhirat

(Lembaga Melayu 5.7.1917)

Nasionalis seperti Burhanuddin Helmi menekankan pegangan agama dan pentadbiran yang berdasarkan hakimiah Allah. Beliau pernah menulis dalam tulisannya ‘Ugama dan Politik;

Kuat agama dengan negara dan kekal negara itu dengan tercapai agama. Tercapainya sesuatu negara dengan politik. Telah terang dengan panjang lebar bangsa Melayu kita telah menempuh tiga kebudayaan atau tiga agama. Maka dengan jelas bangsa Melayu sudah berkali-kali mendirikan negara yang berdaulat agung dan berurat. Berakarkan Hindu dan Buddha. Sekarang urat akar dan jiwanya kebudayaan bangsa kita ialah Islam. Islam menurut sesuatu erti dan tujuannya, ialah aman sentosa di dunia akhirat iaitu lebih dari tujuan politik yang biasa untuk di dunia sahaja

Nah, ini sebahagian sahaja kehebatan bangsa ini. Masih banyak lagi yang belum diketengahkan. Mengapa perlu mengagumi Inggeris apabila bangsa kita sendiri adalah bangsa yang hebat, yang melalui berbagai zaman kegemilangan dalam sejarah, dan sangat dekat dengan Islam? Hakikatnya, Melayu itu pasti Islam seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan dan menjadi sebuah hakikat sejak beribu tahun dahulu. Kita adalah siapa kita dilahirkan. Kita seharusnya berbangga dan merasa izzah dilahirkan Melayu yang mementingkan Islam, yang terbina tamadunnya kerana kedatangan Islam, yang menjadi penyebar agama ini, yang melahirkan para pendakwah, pendeta dan nasionalis yang gagah, berani, dan bijak pandai. Kita adalah generasi yang mempunyai identiti tersendiri, yang mempunyai kisah kegemilangan yang mengagumkan. Kita maju dengan menjadi diri sendiri. Kita adalah kita. Muktamad.

Rujukan:

  1. IRIS INSTITUTE-Mukadimah Perjuangan Melayu (2017)
  2. Muhammad Fauzi Asmuni-Melayu dan Islam (2011)
  3. Rani M, Z.-Kehadiran Barat dan Kesannya Terhadap Kesusateraan Melayu. (Jurnal Pengajian Melayu, 330-361)(2006)
  4. Hyam-Britain’s Imperial Century, 1815-1914: A Study of Empire and Expansion (1976)
  5. Syed Hussein AlAttas-The Myth of Lazy Native; A study of the image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 16th to 20th century and its function in the ideology of colonial capitalism.(1977)
  6. Zaid Ibrahim-Assalamualaikum, Observations on the Islamisation of Malaysia (2015)

SABRINA BINTI ZAIFULIZAN

SARJANA PSIKOLOGI PERKEMBANGAN

AKTIVIS ISMA JOHOR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *