Bahana Memilih Pemimpin Berjiwa Anglophile

Bahana Memilih Pemimpin Berjiwa Anglophile

 

Bahang pilihanraya semakin terasa, kelihatan bendera-bendera parti telah mula bergantungan di jalanraya, pusat komuniti hatta di atas pokok sekalipun. Kempen-kempen di laman sosial juga mula mencanangkan pelbagai agenda demi memenangi hati rakyat.

 

Umum mengetahui, masyarakat Malaysia kini dibelenggu dengan bebanan hidup yang tinggi dek kenaikan harga barang. Ini menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat sehingga ada yang terpaksa melakukan lebih dari satu jenis pekerjaan untuk memenuhi keperluan keluarga. Ada yang menuding jari kepada ‘Goods and Services Tax’ atau GST, namun tidak kurang juga yang mahukan kerajaan yang bersikap telus dan bijak di dalam mengatur kewangan negara.

 

Namun demikian, harus diingat bahawa hidup tidak hanya berkisar kepada wang ringgit atau kesenangan semata. Sebaliknya, ada perkara yang lebih utama dan besar yang perlu difikirkan di dalam pemilihan seseorang wakil rakyat.Isu yang lebih pokok adalah permasalahan berkaitan bangsa dan agama, tidak kira dari sudut pendidikan, ekonomi, jati diri mahupun sahsiah.

 

Tidak dinafikan, kenaikan kos sara hidup ini, telah ‘mencuri’ sedikit kebahagian dalam kehidupan seharian kita. Tetapi apalah erti sebuah kehidupan, bilamana bangsa melayu ini dicaci dan direndahkan dan agama Islam yang kita anuti tidak dapat dijadikan aspirasi dalam kehidupan seharian. Namun demikian, mengamati situasi politik di Malaysia, hanya yang ‘berjiwa besar’ sahaja mampu menguasai hakikat ini. Hakikat negara yang menjadi pertaruhan di antara golongan sekular dan liberalis yang mendabik dada dengan agenda ‘good governance’ mereka dan golongan yang setia memperjuangkan Melayu dan Islam demi kedaulatan negara.

 

Orang yang berjiwa besar akan melihat kepada isu yang melibatkan perkara pokok ini kerana mereka faham, pemimpin yang berwibawa akan memperjuangkan hak setiap kaum secara adil. Pemimpin ini juga akan berusaha untuk meletakkan syariat Islam sebagai yang tertinggi, kerana meyakini Islam adalah penyelamat kepada segala permalasahan ummat.

 

Bagi mereka yang berjiwa kecil pula, mereka tidak melihat kepada ideologi seseorang pemimpin, sebaliknya termakan dengan momokan berunsur sentimen dan kontroversi semata. Bagi mereka, apa yang penting adalah poket mereka penuh dan periuk nasi mereka terjaga. Mereka inilah yang mudah ‘dibeli’ dan diambil kesempatan oleh pihak lain kerana mereka tiada prinsip. Rata-rata pengundi Melayu tergolong di dalam kategori ini.

 

Mari kita lihat sejenak, perbandingan masyarakat yang mempunyai agenda yang jelas. Di sebuah negara yang dihujani bom dan roket saban hari, teserlah sinar keimanan dan kebangkitan Islam. Penduduk Palestin diboikot dan dikenakan bermacam sekatan ekonomi oleh Israel kerana mereka memilih Hamas sebagai parti yang memerintah. Mereka sedia hidup di dalam keadaan yang daif hanya kerana memperjuangkan agenda yang lebih besar. Mereka tidak sanggup untuk tunduk kepada Israel walaupun mereka mendapat kesenangan material. Ini merupakan contoh agung masyarakat yang berprinsip.

 

Oleh kerana itu, persoalan dalam memilih susuk tubuh pemimpin itu, menjadi isu yang sangat besar dan tidak boleh dipandang enteng. Pemilihan dalam mengangkat seseorang pemimpin itu perlu ditapis supaya tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari. Kita harus kembali kepada prinsip kepimpinan yang berwibawa di dalam memilih pemimpin negara. Calon yang berwibawa mampu menyelesaikan permasalahan, bersikap adil dan saksama.

 

Antara criteria pemimpin yang perlu ditolak, adalah pemimpin yang berjiwa anglophile iaitu pemimpin yang tidak mahu mengangkat dan memartabatkan bangsa sendiri. Mereka berasa hina berbangsa Melayu, tetapi memandang tinggi kepada idea dan cara barat terutamanya yang diimport dari negara Britain. Mereka ini cenderung untuk berideologi liberal dan sekular.

 

Izzah pada melayu dan Islam telah lama hilang dari dalam diri mereka. Mereka lebih berbangga menonjolkan sisi british dalam kehidupan seharian, baik dari segi cara berpakaian, pertuturan sehinggalah kepada konteks lontaran pemikiran. Bagi mereka, setiap yang dating dari barat adalah baik belaka. Bahaya pemikiran ini apabila merasakan Islam Cuma praktis atau ritual harian tanpa melibatkan Islam di dalam isu yang lebih besar seperti tampuk pimpinan dan kedaulatan negara.

 

Jika pemimpin ini diangkat, segala pencirian pada bangsa akan terhapus dengan perancangan yang sangat halus. Sebagai contoh, perancangan di dalam memartabatkan Bahasa Melayu akan dicantas dan tidak sesekali akan diperkasakan. Kesannya, mungkin sahaja kita akan menggunakan Bahasa Ingeris dalam pertuturan seharian kita melebihi pertuturan kita dalam Bahasa Melayu sendiri. Lebih teruk lagi, jati diri kita terhakis dengan berasa hina dan ‘low class’ apabila bertutur dalam Bahasa Melayu.

 

Generasi kita mungkin tidak terasa kesan bahaya golongan anglophile ini, tetapi bagaimana dengan generasi yang akan dating iaitu anak cucu kita? Mereka telah pun menampakkan kecelaruan pada identity dan jatidiri mereka sekarang. Sudah tentu kita tidak mahu keadaan yang sedia parah ini menjadi lebih buruk kelak.

 

Hakikatnya fahaman anglophile telah lama bertapak di Negara kita dan ia merupakan strategi terancang pihak tertentu untuk melahirkan golongan yang berkiblatkan barat dan akhirnya boleh akur dengan telunjuk barat. Ini hanya sebahagian daripada agenda yang lebih besar iaitu menguasai dunia dan menjauhkan manusia daripada Islam. Setiap pilihan yang kita buat sekarang menjadi penentu sama ada agenda mereka bakal Berjaya atau tidak. Jadilah orang yang berjiwa besar dan mampu membuat pilihan yang tepat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *