October 10, 2017

Amalan Hati Penguat Diri

KEKUATAN sebenar manusia adalah pada jiwa dan spiritual, bukan fizikal ataupun pemikiran. Bukan juga kekuatan material dan status. Malangnya, ramai yang tidak memahami hakikat ini, samada tak tahu atau terpedaya dengan permainan dunia.

Akibatnya mereka mengejar dan memberikan fokus kehidupan kepada perkara yang silap. Ayuh, kita perhatikan amalan peribadi (selain amal fardu) yang dapat menguatkan jiwa dan spiritual bagi melahirkan pemimpin yang hebat:

1. Solat Sunat: Setelah lengkap dan sempurna 5 kali solat wajib pada awal waktu secara berjemaah di masjid, perjuangan seterusnya ialah untuk beristiqamah mengamalkan solat sunat. Contohnya solat sunah sebelum dan selepas solat fardu, solat sunat Duha, solat sunat Wudu’, solat sunat Tahiyatul Masjid, solat sunat Witir dan banyak lagi.

Semua ini dapat membersihkan hati daripada kerosakan dan perkara mungkar, melatih fokus melalui kekhusyukan, menanamkan disiplin menjaga waktu dan kebersihan serta sebagai terapi spiritual yang dapat menghapuskan tekanan dan mencipta ketenangan jiwa. Inilah karakter dan kualiti yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin yang unggul.

2. Qiamullail: Qiamullail atau solat malam sebenarnya termasuk dalam kategori solat sunat. Namun sengaja saya asingkan untuk menonjolkan kepentingan serta impak melaziminya sebagai kekuatan jiwa yang amat ampuh sekali.

Individu yang biasa mengamalkan solat sunat biasa pun belum tentu mampu bertarung dengan rasa mengantuk untuk bangun di pertengahan malam ketika insan lain sedang hanyut dibuai mimpi, lantas berwuduk dengan air sejuk dan menangis mengadap Ilahi. Ya, inilah cabaran yang meletakkan qiamullail pada tarafnya yang tersendiri.

Namun kesannya juga sudah tentu luar biasa. Ia merupakan saat berdua-duaan dengan Tuhan yang merupakan kemuncak kepada pengembaraan jiwa. Generasi terbaik Islam (para sahabat terawal) diwajibkan mendirikan solat malam selama setahun lamanya. Pemimpin terbaik dunia, Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkannya sehingga akhir hayat Baginda kecuali ketika sakit. Apa lagi alasan kita untuk tidak menjejaki langkah mulia mereka semua?

3. Quran: Kitab Allah s.w.t sebagai panduan dan rujukan utama umat Islam ini harus dibaca, difahami, dihayati, dihafal, diamal dan diajarkan setiapkan hari. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w ini merupakan ubat jiwa yang paling mujarab dalam merawat apa juga penyakit hati, mahupun penyakit fizikal.

Kalaupun kita tidak menyematkan keseluruhan isinya dalam dada (menghafaz), namun pembacaan dan penghayatan yang berterusan secara konsisten dan terfokus pasti dapat mencerna ketenangan dan kekentalan jiwa yang luar biasa. Ia mencipta iman dan mengikat kita dengan Pencipta Seluruh Alam. Jika telah bertaut ikatan itu, tiada apa lagi di dunia ini yang mampu menyebabkan kita sedih, takut, tertekan mahupun terhina.

4. Puasa Sunat: Selain puasa wajib sepanjang bulan Ramadan, puasa sunat seperti puasa Isnin Khamis, puasa 6 Syawal, puasa Hari Arafah, puasa bulan Rejab dan Sya’ban serta banyak lagi mampu membina jiwa yang bertaqwa. Selain itu, ia mendidik hati akan sifat keikhlasan, kejujuran, kesungguhan, pengorbanan dan ketahanan.

Pokoknya ialah melawan hawa nafsu. Jika kita mampu menahan diri daripada perkara yang asal hukumnya harus (makan, minum dan hubungan suami isteri) ketika berpuasa, sepatutnya hawa nafsu kita terdidik dengan baik untuk menahan diri daripada perkara yang jelas haram dalam kehidupan seharian kita.

5. Zikir: Zikir bermakna mengingati. Siapa lagi yang perlu kita ingat pada setiap masa melainkan Tuhan yang mengurus setiap degupan jantung, kedipan mata dan lintasan hati? Bukankah Dia sentiasa berada sangat dekat dengan kita, malah lebih dekat daripada urat merih kita sendiri?

Ya, ingatlah Allah s.w.t dan sebutlah nama-Nya yang mulia untuk sebagai makanan jiwa. Pelbagaikan caranya, samada bacaan wirid selepas solat, bacaan Al-Ma’thurat, doa harian dan zikir-zikir asas yang lainnya. Malulah kita jika culas melakukannya kerana seluruh makhluk Allah s.w.t yang lain sentiasa mengucapkan zikir kepadanya tanpa henti.

6. Muhasabah Diri: Melakukan refleksi diri setiap hari, setiap kali sebelum melelapkan mata merupakan rutin yang amat berkuasa untuk membentuk peribadi hebat dengan nilai kejiwaan yang tinggi. Luangkan barang beberapa minit menganalisis kesilapan atau dosa yang dilakukan sepanjang hari, lafazkan istighfar dan rangka perancangan bagi mengelakkan terjerumus ke dalam lembah dosa yang sama untuk esok hari. Buatlah dengan sepenuh hati kerana anda belum pasti samada anda akan bangun daripada tidur pada keesokan hari!

7. Latihan Pelembut Jiwa: Selain amalan-amalan peribadi yang disebutkan di atas, beberapa aktiviti lain juga yang dilakukan secara berkala dan konsisten dapat melembutkan hati anda. Antaranya menziarahi hospital, melawat tanah perkuburan, rumah anak yatim, pusat penjagaan orang tua, pusat pemulihan dadah serta kawasan-kawasan yang ditimpa musibah atau bencana alam.

Selain itu, menjaga dan mengurus bayi, orang tua dan orang kurang upaya juga merupakan satu bentuk latihan yang amat baik. Banyakkan mencuci tandas, membuang sampah dan melakukan urusan-urusan yang sukar dan kotor yang sering dijauhi manusia biasa. Keraplah membantu orang yang berada dalam kesusahan. Insya-Allah semakin banyak air mata yang anda lihat, semakin basah dan lembut jiwa anda.

Hot industry news & trends

More useful articles